Isnin, 20 Oktober 2008

Definisi dan Contoh Inovasi, Teknologi dan Media

INOVASI

Inovasi adalah asas pertumbuhan dan kemajuan sesebuah negara. Inovasi merupakan hasil cetusan idea-idea yang kreatif dalam mana-mana aspek kerja yang dapat meningkatkan kualiti dan produktiviti organisasi. Hasil inovasi ini boleh merangkumi apa-apa perubahan kepada sistem, prosedur, kaedah atau cara bekerja. Pelaksanaan hasil inovasi ini akhirnya dapat meningkatkan kecekapan dan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan serta memberi faedah kepada para pelanggan dan para pengguna.

Takrifan inovasi ialah sesuatu yang baru diperkenalkan seperti kaedah, sistem, adat, dan lain-lain yang baru. Inovasi berkait rapat dengan perihal atau tindakan mengadakan, memulakan, mewujudkan sesuatu yang baru dan terkini. Inovasi merupakan faktor penting untuk menggalakkan manusia menggunakan kebolehan dan kreativiti mereka pada tahap yang membanggakan seperti rekaan baru dari aspek teknologi. Secara keseluruhannya inovasi ialah perubahan atau evolusi dalam penghasilan sesuatu produk yang lebih kreatif dan canggih. Selain itu, inovasi adalah merekacipta sesuatu yang baru dan memperbaharui kepada yang lebih baik. Dalam ertikata yang lain inovasi adalah benda yang baru, ataupun memperbaharui objek yang lama. Proses inovasi mampu menghasilkan atau merekacipta idea-idea yang kreatif yang tidak pernah wujud sebelumnya.

Contoh inovasi seperti merekacipta komputer, yang sebelum ini ia tidak pernah wujud. Tetapi sekarang, inovasi masih lagi wujud dalam industri perkomputeran. Inovasi untuk memperbaharui teknologi komputer. Sekiranya dahulu komputer adalah begitu besar, tetapi kini ia semakin kecil dan ringan. Ini juga adalah satu bentuk inovasi. Produk baru adalah produk yang mempunyai ciri-ciri teknologi atau tujuan penggunaan yang sangat berbeza dari produk sebelum ini. Produk yang telah ditambahbaik merupakan produk sedia ada yang prestasinya telah dipertingkat atau dinaiktarafkan. Inovasi bagi produk didefinisikan sebagai barangan atau perkhidmatan sama ada yang baru atau yang telah ditambahbaik dengan ketara dari segi ciri-ciri asas, spesifikasi teknikal, perisian atau komponen lain yang telah disatukan, penggunaan atau mesra pengguna. Perubahan luaran dan penjualan inovasi yang dikeluar atau dibangunkan oleh syarikat lain dengan sepenuhnya tidak dianggap sebagai inovasi bagi produk.

TEKNOLOGI.

Teknologi merupakan satu konsep yang luas dan mempunyai lebih daripada satu takrifan. Takrifan yang pertama ialah pembangunan dan penggunaan alatan, mesin, bahan dan proses untuk menyelesaikan masalah manusia. Istilah teknologi selalunya berkait rapat dengan rekaan dan gadget menggunakan prinsip sains dan proses terkini. Namun, rekaan lama seperti tayar masih menunjukkan teknologi. Teknologi merupakan ilmu tentang cara mencipta barang-barang dalam perusahaan seperti bangunan, jentera dan lain-lain.teknologi meliputi aktiviti atau kajian yang menggunakan pengetahuan sains untuk tujuan praktis dalam industri, pertanian, perubatan, perniagaan, dan lain-lain. Takrifan teknologi yang diguna pakai di sekolah-sekolah dan institusi-insitusi pengajian tinggi di Malaysia ialah aplikasi pengetahuan sains yang boleh memanfaatkan serta menyelesaikan masalah manusia yang dihadapi dalam kehidupan seharian.

Teknologi telah digunakan secara meluas pada masa kini dan telah memberi banyak impak positif mahupun negatif terhadap manusia. Ianya bergantung kepada bagaimana manusia mengaplikasikan sesuatu teknologi itu didalam kehidupan mereka. Contoh-contoh peralatan teknologi yang digunakan pada masa kini adalah seperti computer riba, telefon bimbit yang canggih, kamera digital, pemain muzik seperti mp4, dan pelbagai lagi alatan teknologi yang telah tercipta. Alatan-alatan teknologi ini telah menyumbang pelbagai kemudahan kepada manusia. . Kecanggihan peralatan teknologi ini telah mendorong manusia untuk mencipta pelbagai lagi peralatan teknologi yang lebih hebat pada masa depan.

MEDIA TEKNOLOGI

Media teknologi pula boleh dibahgikan kepada dua kategori iaitu bahan cetak dan bahan bukan cetak. Bahan cetak adalah bahan yang bertulis, contohnya buku,majalah, akhbar dan sebagainya. Manakala bahan bukan cetak atau bukan bertulis ialah seperti perkasasan, perisian, audio-visual dan bahan tiga dimensi (3D). Kedua-dua kategori ini boleh digunakan untuk menyampaikan maklumat kepada orang ramai yang menggunakannya. Media juga merupakan tempat atau based di mana kita menyampaikan maklumat atau informasi kepada orang ramai yang bertujuan untuk mempromosi, memasarkan produk dan sebagainya. Di universiti pensyarah juga menggunakan media teknologi dalam menyampaikan maklumat kepada pelajar iaitu dengan menggunakan projektor LCD yang dipancarkan pada skrin putih.

Sebagai kesimpulanya, inovasi, teknologi dan media teknologi sangat berkait rapat dengan kehidupan manusia hari ini. Dengan adanya inovasi, maka teknologi akan berkembang dan berdaya saing diperingkat dunia. Jadi, jelaslah disini bahawa dunia hari ini sangat bergantung kepada teknologi untuk terus maju dan mendapat perhatian dunia. Teknologi yang berinovasi dan peranan media teknologi dapat membuka dan mengembangkan lebih banyak isu-isu teknologi supaya lebih canggih dan memudahkan orang ramai mendapat maklumat dan informasi.

ISU-ISU DALAM INOVASI

Inovasi merupakan kemajuan, peningkatan dan pembaharuan yang dirancang dalam penggunaan teknologi untuk memudahkan sesuatu perkara atau masalah diselasaikan. Pelbagai usaha telah dilakukan untuk menjadikan teknologi yang ada pada hari ini lebih baik untuk kegunaan pada masa hadapan. Dengan adanya teknologi dan inovasi, kemajuan sesebuah negara dapat dicapai dengan lebih cepat. Contohnya inovasi dan pembangunan aplikasi serta teknologi maklumat (IT) dalam semua sector telah berkembang pesat.

Pada hari ini, sistem ICT global menyediakan kuasa untuk berkomunikasi dan keupayaan khusus termasuklah analitikal yang diperlukan oleh firma-firma terutamanya bagi mengendalikan perdagangan dan pengurusan bertaraf global. Perkataan teknologi maklumat (IT) telah menjadi sebutan harian rakyat Malaysia pada masa kini. Teknologi maklumat boleh didefinisikan sebagai semua jenis teknologi yang digunakan untuk memproses, menyimpan dan memindahkan maklumat dalam bentuk elektronik. (Martin. 1994).

Prinsip utama teknologi maklumat ialah Prinsip Teknologi tinggi sentuhan tinggi (high-tech-high-touch) iaitu semakin banyak bergantung kepada teknologi termaju, semakin penting kita menimbangkan aspek sentuhan-tinggi (high-touch) iaitu manusia. Prinsip ini menekankan penyesuaian teknologi maklumat kepada manusia daripada meminta manusia menyesuaikan dengan teknologi maklumat. Walaupun kemajuan teknologi komputer dan komunikasi begitu pesat tetapi ada beberapa isu yang membabitkan penggunaan teknologi maklumat. Beberapa isu berkaitan teknologi dan inovasi ialah masalah etika penggunaan teknologi maklumat, isu hak cipta dan keperibadian serta masalah keselamatan data. Teknologi maklumat memberi peluang untuk manusia mengenalpasti masalah yang menyebabkan kesusahan, kemusnahan dan kesulitan tetapi boleh juga boleh mencetuskan peluang.

Teknologi pada asasnya merangkumi pelbagai aspek iaitu yang pertama Teknologi sebagai Objek yang terdiri daripada mesin-mesin elektronik dan alat-alat, senjata dan seumpama. alat-alat ini sebenarnya melibatkan penggunaan tenaga manusia bersama mesin-mesin untuk menghasilkan sesuatu bahan. Kemudian kita beralih kepada Teknologi sebagai Pengetahuan iaitu bagaimana teknologi inovasi ini dapat menyampaikan maklumat menerusi internet dan mudah didapati kepada mereka yang memerlukan kepadanya.

Seterusnya Teknologi sebagai Aktiviti, iaitu manusia menggunakan teknologi untuk melakukan kerja dengan lebih teratur dan kemas, meningkatkan lagi kemahiran yang ada ke tahap yang lebih baik dan berkualiti serta digunakan sebagai persidangan untuk forum-forum yang membincangkan seseuatu hal melibatkan pihak-pihak yang jauh dan sukar ditemukan pada suatu tempat tetapi mampu menghasilkan penghasilan gerak kerja yang berkualiti. Kemudian Teknologi juga sebagai Proses iaitu menjadi satu daya keperluan dan kemudiannya diakhirinya dengan penyelesaian. justeru itu, Teknologi bertindak sebagai Sistem Manusia (Sosiatechnical) iaitu gabungan objek lain dengan manusia contohnya pembelajaran jarak jauh (PJJ) menerusi internet dengan lebih mudah dan menjimatkan.

Kesimpulanya, inovasi dan teknologi telah banyak membantu memudahkan kerja manusia dalam kehidupan seharian jika ia diaplikasikan dengan betul. Oleh itu pihak kerajaan haruslah memainkan peranan penting memberi kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan menguasai teknologi terkini terutamanya dikalangan generasi muda yang bakal menjadi peneraju utama negara suatu hari nanti. Teknologi yang ada seharusnya digunakan dengan cara yang betul bagi memastikan kita dan juga orang lain boleh mendapat manfaat daripadanya.

Isnin, 29 September 2008

Selamat Hari Raya Aidilfitri.

Lebaran Idul Fitri 1429 H sudah semakin dekat. Bulan puasa yang dijalani oleh ummat Islam hampir genap 30 hari. Tidak lama lagi kita akan merayakan hari kemenangan, hari yang fitri; di mana setiap muslim seolah dilahirkan kembali ke dunia ini dalam wujudnya yang suci dan bersih dari dosa. Itulah hikmah bulan suci Ramadhan; mengembalikan kefitrahan umat manusia.

Jika perjuangan panjang melawan hawa nafsu di bulan yang suci Ramadhan berhasil dilalui oleh seorang muslim, maka ganjarannya adalah kembali fitri; suci lahir dan batin. Hari kemenangan 1 Syawal merupakan hari yang ditunggu-tunggu oleh semua umat manusia, bukan saja oleh umat Islam. Hari dimana setiap Muslim diharapkan dapat saling bermaaf-maafan, melepaskan segala dendam dan dosa, agar kembali fitri. Mari saling memaafkan, baik secara langsung bertemu, mahupun hanya dengan sepotong pesanan SMS.